Puncak Populariti & Penyertaan Acis Gersang_(kumpulan_muzik)

Setelah Gersang lengkap berempat, mereka telah memulakan kerja-kerja rakaman album pertama di Booty Studio, Kuala Lumpur. Album yang menggunakan nama kumpulan sebagai judul album diterbitkan oleh Rahim Othman di bawah label Pacific Music Corporation (PMC - kemudiannya dikenali sebagai BMG Pacific). Selain anggota-anggota Gersang dan Rahim Othman, lagu-lagu dalam album ini juga mendapat sentuhan dari beberapa orang pemuzik dan penulis lirik seperti Din Search (abang kepada Kid), Juwie dan Islah Ibrahim (turut menjadi sessionist untuk keyboard dalam album Gersang).

Album pertama mereka telah menggegarkan dunia seni tanah air muzik apabila mencatatkan jualan mencecah 90,000 unit. Album yang hit dengan lagu Masih Aku Terasa telah meletakkan mereka sebagai kumpulan rock terbaik di Malaysia, sebaris dengan Search yang Wings yang popular pada ketika itu. Berbekalkan kejayaan album tersebut, mereka bercadang untuk menambah seorang lagi anggota yang bertindak sebagai pemain keyboard memandangkan lagu-lagu mereka memerlukan penggunaan instrumen tersebut. Maka dengan itu mereka telah mengadakan sesi uji bakat di Sound Dimension Studio yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Setelah meneliti bakat & kemahiran yang ditunjukkan oleh beberapa peserta yang ingin mencuba nasib untuk menyertai Gersang, akhirnya mereka telah memilih seorang remaja yang bernama Hashridz Murshim bin Hassim yang lebih dikenali sebagai Acis. Acis yang ketika itu berusia 18 tahun dan sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum itu telah mengenali Man Bai ketika bermain bola sepak di kawasan perumahan mereka. Dengan kemasukan Acis sebagai anggota baharu Gersang, susunan muzik Gersang menjadi lebih mantap dan mereka terus sahaja memulakan proses rakaman album kedua pada tahun yang sama.

Album kedua mereka yang berjudul Takdir telah membawa Gersang ke tahap yang lebih tinggi apabila album tersebut mencatatkan jualan melebihi 80,000 unit dengan lagu hitnya, Suratan Takdir. Album yang lebih kepada genre rock progresif di samping imej yang bersih menjadikan mereka terkenal sebagai kumpulan rock yang digilai wanita.

Biarpun populariti mereka adakalanya dicemari dengan cemuhan dan kata-kata sinis daripada peminat-peminat rock kapak yang brutal, Gersang tetap utuh di persada seni tanah air apabila dua lagu mereka iaitu Masih Aku Terasa & Suratan Takdir mara ke pertandingan akhir Juara Lagu '88.

Rujukan

WikiPedia: Gersang_(kumpulan_muzik) http://duniarockmalaysia.blogspot.com/2011/05/kala... http://melayurock.blogspot.com/2007/07/gersang-ger... //scholar.google.com/scholar?q=%22Gersang%22+kumpu... //www.google.com/search?&q=%22Gersang%22+kumpulan+... //www.google.com/search?as_eq=wikipedia&q=%22Gersa... //www.google.com/search?q=%22Gersang%22+kumpulan+m... //www.google.com/search?tbs=bks:1&q=%22Gersang%22+... http://www.bharian.com.my/articles/Masihakuterasa/... http://ecentral.my/services/sprinterfriendly.asp?f... http://www.jstor.org/action/doBasicSearch?Query=%2...